Thursday 12 June 2008

My Little Garden

Alhamdulillah benih-benih english herbs yang telahku semai mula menghijau. Lama ingin aku coretkan kisah hasil tanaman ini namun apabila penyakit M mula melanda, jawabnya hi hi bye bye la buat seketika.

Memandangkan musim panas tahun ini lebih baik berbanding tahun yang lepas, aku tidak melepaskan peluang untuk menghijaukan alam rumah. Sekaligus menjadi terapi buat House Manager seperti aku yang banyak menghabiskan masa di rumah. Bosan sebenarnya duduk di rumah, tapi kenalah kreatif mencari sesuatu mengisi masa lapang yang sedia penuh itu. Hehe..

Hum.. teringat zaman bekerja dahulu, pagi-pagi lagi sudah berkejar menuju ke pejabat ataupun turun ke site. Kalau dah turun ke site tu, jawabnya hilang mentari barulah menjejak kaki ke rumah. Pukul 10 malam barulah dapat makan sekeluarga. Rutin harian dah begitu, anak pun lebih kenal babah daripada mamanya. Hujung minggu, barulah rumah kami menerima sentuhan tangan ini (acara mengemas rumah, membasuh baju, memasak etc). Kecuali hari Sabtu dan Ahad kena bekerja juga! Seronok dan penat terkejar sana sini. Kekadang serabut dan tension pun ada! Bila fikirkan balik, kesian mereka yang tersayang. Waktu itu alangkah seronoknya kalau menjadi House Manager!

Memandangkan cik abang serius untuk menyambung pelajaran ke luar negara, aku pun mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi menguruskan rumah tangga yang sebelum ini diabaikan (urusan anak saja tau!). Sayang tu memanglah sayang, apalagi projek pembinaan jalan yang aku jaga itu sudah pun hampir selesai. Tapi aku harus memilih di antara dua, keluarga atau pun kerjaya? Duit dan harta benda insyaallah kita boleh cari, namun kebahagian rumah tangga adalah lebih penting daripada itu semua. Dan akhirnya alhamdulillah, sudah masuk lapan bulan kami menjejakkan kaki ke bumi ini dan merasai perubahan musim yang ketiga. Akhirnya aku pun menjawatlah jawatan sebagai House Manager sehingga kini.

Berbalik kembali ke cerita asalku tadi. Diantara hasil tanamanku ialah basil, oregano, thyme, coriander, parsley, garlic chives, dill, mint, marjoram dan lavender. Tidak dilupakan juga malay herbs yang telah dipos oleh keluargaku dari Malaysia iaitu kunyit dan ulam raja serta daun kesum pemberian Kak Pah (terima kasih daun keladi!).

Terasa puas hati dan lapang mata bila dapat memandang tumbuhan hijau walaupun ditanam di dalam pasu sahaja. Selain menghijaukan persekitaran rumah, dapat juga digunakan di dalam masakan. Gambar kita letak lain lain kali ok!

2 comments:

iina said...

wah jas.. dah ada blog ke hehehe.. takpe tambah meriahkan suasana

Daffodil said...

alamak.. baru nak nyorok2 ni! da jumpa la plak.. ishk malu la..