Saturday 30 August 2008

Erti Kemerdekaan : Suatu Pandangan

Tertarik dengan isi kandungan email Ustaz Abduh dan diperdengarkan oleh Ustazah Safinar petang tadi di rumah seorang sahabat disini selepas majlis bacaan Yasin petang tadi. Semoga dapat kita berkongsi faedah dan kebaikan daripadanya.
Pada 31 Ogos setiap tahun kita menyambut hari kemerdekaan dengan penuh rasa gembira dan bangga. Bangga kerana kita sudah merdeka dari penjajahan bangsa asing yang berlaku selama lebih 446 tahun.
Namun menurut Islam, kemerdekaan bukanlah sekadar sesebuah negara bebas dari penjajahan bangsa asing. Merdeka juga bukan bermaksud kita bebas menentukan tindakan dan hala tuju negara kita sendiri tanpa had dan batasannya.
Masyarakat Arab Mekah walaupun diperintah oleh bangsa Arab, namun mereka tidak merdeka dengan erti kata yang sebenar. Menurut sejarah, Mekah tidak pernah diperintah oleh kuasa asing. Walaupun mereka hidup bebas melakukan apa sahaja seperti perzinaan, perjudian, minum arak dan membunuh anak, tetapi itu bukanlah suatu kemerdekaan yang sebenarnya. Mereka hidup dalam keadaan ketakutan kerana jenayah yang berleluasa dan tiadanya keamanan dalam masyarakat. Kehidupan mereka lari dari landasan agama sehingga mereka digelar Masyarakat Jahiliyah.
Masyarakat Eropah berada di bawah jajahan Rom dan Parsi, sedangkan sebahagian mereka adalah bangsa Rom dan Parsi sendiri. Mereka dijajah kerana ditindas dan dizalimi oleh bangsa mereka sendiri. Kehidupan mereka sengsara dan tertekan dengan pelbagai peraturan dan sistem yang tidak memberi keadilan kepada mereka. Ini bermakna penjajahan boleh berlaku apabila manusia menjadi hamba kepada manusia dengan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap sesama manusia.
Kemerdekaan sebenar!
Kemerdekaan sebenar terkandung dalam ucapan yang masyhur oleh panglima tentera Islam, Rub’ai bin Amir kepada panglima tentera Rom yang bernama Rustam.
“Kami adalah kaum yang diutus Allah untuk membebaskan manusia dari perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan kepada Tuhan manusia, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dan dari kesepitan dunia kepada keluasannya (dengan Islam).”
Apabila manusia tidak lagi menjadi hamba sesama manusia dengan meletakkan pengabdian hanya kepada Allah, maka pada waktu itu mereka telah mencapai kemerdekaan diri. Kemerdekaan dicapai apabila Islam dapat ditegakkan dan masyarakat dapat mengecap keadilan yang dibawanya. Apabila manusia beramal dengan ajaran Islam, kehidupan mereka menjadi lapang, hati mereka menjadi tenang dan keadaan masyarakat menjadi tenteram. Tenteram dan sejahtera kerana berkurangnya gejala buruk dan jenayah dalam masyarakat.
Sepatutnya manusia hanya menjadi hamba kepada Allah sesuai dengan tujuan manusia diciptakan Allah.
Firman Allah :
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Az-Zariyat (56)
Kemerdekaan yang sebenar bagi masyarakat Arab Mekah ialah apabila mereka menerima Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Kemerdekaan ini mereka capai dengan berlakunya pembukaaan kota Mekah pada tahun ke 8 hijrah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Mereka bebas untuk beriman dan melaksanakan perintah Allah tanpa sebarang gangguan oleh kaum musyrikin Mekah. Ka’abah dibersihkan dari semua bentuk berhala, dan kalimah Allah kembali dilaungkan. Nabi SAW telah Berjaya membebaskan masyarakat Arab dari penjajahan bangsa Arab sendiri yang memaksakan sistem dan cara hidup jahiliyah terhadap mereka.
Kemerdekaan bagi umat Islam ialah apabila mereka bebas melaksanakan perintah dan suruhan Allah tanpa ada siapa yang menghalangnya. Selagi perintah dan syariat Allah tidak terlaksana, dan manusia dihalang daripadanya maka selagi itulah manusia terjajah. Walaupun yang menjadi pemerintah umat Islam adalah dari kalangan umat Islam sendiri, namun mereka dikira penjajah sekiranya umat Islam masih terhalang daripada agama mereka.
Firman Allah :
وَقَـٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةٌ۬ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ‌ۖ فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَلَا عُدۡوَٲنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ (١٩٣)
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. Surah Ali Imran (193)
Fitnah dalam ayat ini bermaksud manusia masih kufur kepada Allah. Kita diperintah supaya berdakwah dan mengajak manusia kembali kepada agama Allah. Seruan ini merupakan seruan kepada kemerdekaan .
Kemerdekaan bagi masyarakat Rom dan Parsi ialah apabila mereka bersedia bernaung di bawah pemerintahan Islam. Walaupun bangsa Arab yang memerintah mereka, namun mereka merdeka. Merdeka daripada kezaliman bangsa sendiri. Merdeka daripada sistem pemerintahan yang kejam dan menindas kepada sistem pemerintahan Islam yang adil dan saksama. Mereka lebih senang diperintah oleh orang Islam .
Persoalannya, apakah kita dan masyarakat kita sudah benar-benar merdeka seperti yang dikehendaki oleh Islam?

2 comments:

MyPeriukBelanga - Is BACK!! said...

dapodil anak omak! ramadhan mubarakh!

Daffodil said...

omak: mano duit rasa ese ni?